Sunday, October 5, 2008

INDEPENDENCE OF MALAYA PARTY (IMP)


Dato Onn Jaafar adalah Presiden UMNO yang pertama sejak UMNO ditubuhkan pada 11 Mei 1946. Dato Onn berasa kecewa dengan apa yang beliau anggap sebagai dasar-dasar perkauman UMNO dan mengubah dasar perjuangannya daripada “Malaya untuk Melayu” kepada “Malaya untuk Malayan”. Dato’ Onn mencadangkan bahawa keahlian UMNO dibuka kepada semua penduduk Tanah Melayu, tanpa mengira kaum, dan nama UMNO ditukarkan menjadi "Pertubuhan Kebangsaan Penduduk Tanah Melayu Bersatu" .Terdapat pertelagahan dalam Mesyuarat Agung terutamanya mengenai reaksi UMNO terhadap cadangan Communities Liason Committee tentang kewarganegaraan. Ahli-ahli UMNO telah memberi tentangan hebat kerana mereka berpegang kepada Perlembagaan UMNO iaitu hanya untuk orang Melayu sahaja.

Oleh sebab cadangan itu ditentang, Dato’ Onn secara sukarela meletakkan jawatan sebagai presiden UMNO apabila persidangan Majlis Mesyuarat Agung Keenam diadakan pada 25 dan 26 Ogos 1951. Perletakkan jawatan Dato’ Onn ini merupakan satu kehilangan besar kepada kepimpinan UMNO pada saat itu kerana orang Melayu masih berada di tahap ketinggalan dalam semua bidang.

Beliau menubuhkan Independence of Malaya Party (IMP) pada 16 September 1951 sebagai wadah perjuangan politik tanpa kaum dan keturunan. Parti ini dibuka untuk semua kaum di Malaya tetapi lebih mendapat sambutan daripada kaum Cina dan India. Tetapi orang bukan Melayu keberatan memberi sokongan moral dan material kepada Dato’ Onn kerana sikap orang Melayu yang menentang keras dasar “Malaya untuk Malayan”. Mereka sedar bahawa sesuatu pergerakan politik di Malaya mustahil untuk mencapai kejayaan jika tidak disertai oleh orang Melayu. Akhirnya, pemimpin Cina dan India tadi berpaling tadah dan menarik diri daripada menyokong IMP. Selain itu, mereka tidak menaruh keyakinan yang sepenuhnya terhadap dasar “Malaya untuk Malayan” kerana mereka menganggap bahawa Dato’ Onn menggunakan dasar itu hanya untuk menyatupadukan semua kaum bagi menentang dan menamatkan penjajahan di Tanah Melayu. Di sebalik itu, mereka bimbang jika setelah kemerdekaan tercapai, nasib mereka pada masa hadapan tidak terjamin. Dengan itu, IMP lumpuh dan mati dengan sendirinya, terutama dalam Pilihanraya Bandaran Kuala Lumpur 1952. Pada Februari 1954, beliau meninggalkan parti itu untuk menubuhkan Parti Negara bagi tujuan bertanding dalam pilihan raya umum yang pertama di Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1955.

Tujuan dan dasar-dasar Parti Negara tidak bercorakkan perkauman tetapi memperjuangkan kepentingan orang Melayu. Parti Negara menyekatkan keahlian orang bukan Melayu dalam satu percubaan untuk memperoleh sokongan daripada orang-orang Melayu. Tetapi malangnya perubahan sikap dan corak perjuangan baru yang ditunjukkan oleh Dato’ Onn menerusi Parti Negaranya itu tidak mempunyai daya penarik lagi seperti semasa beliau memimpin UMNO dahulu. Jika dahulu Dato’ Onn menubuh IMP untuk mencari sokongan orang bukan Melayu dan mencapai kemerdekaan menurut syarat British, sekarang beliau menubuhkan pula Parti Negara untuk meraih sokongan orang Melayu, bukan lagi untuk mencapai kemerdekaan tetapi untuk menyatupadukan semula umat Melayu. Hal ini adalah untuk mempertahankan hak-hak kebangsaan Melayu supaya keselamatan orang Melayu terjamin. Walaupun demikian, partinya masih gagal mendapat sokongan dan tidak memenangi sebarang kerusi dalam Pilihan Raya Persekutuan 1955. Bagaimanapun, Dato Onn masih berusaha untuk mendapatkan tempat dalam politik. Akhirnya, beliau berjaya mendapat satu kerusi di kawasan parlimen Kuala Terengganu Selatan dan empat kerusi Dewan Undangan Negeri dalam Pilihan Raya Umum 1959 dengan bantuan parti PAS. Dato’ Onn menjadi ‘Ketua Pembangkang’ dalam Dewan Rakyat dengan kemenangan ulung PN ini.



No comments: