Sunday, October 5, 2008

ZAMAN PENJAJAHAN JEPUN



Semasa era penjajahan Jepun , Dato’ Onn telah dilantik menjadi pegawai Pengawal Makanan Johor Bahru. Dengan kedudukannya itu beliau bertanggungjawab membahagikan beras ke daerah penting negeri Johor seperti Segamat,Kluang, Labis, Paloh dan Muar. Dengan kedudukan itu , Dato’ Onn dikatakan dapat membantu pasukan anti-Jepun terutamanya anggota-anggota Kesatuan Melayu Muda di Batu Pahat dan Muar dengan memberi beras tanpa pengetahuan Jepun. Malah dengan kerjasama itu , Dato’ Onn telah dilantik sebagai Ketua Kesatuan Rakyat Indonesia Semenanjung (KRIS) Johor. Malah, Dato’ Onn turut dimasukkan sebagai seorang anggota kabinet kerajaan Rakyat Indonesia Semenanjung yang dicadangkan oleh KRIS di bawah pimpinan Ibrahim Yaakob.

Penglibatan Dato’ Onn di dalam golongan kiri ini sangat menarik kerana selama ini Dato’ Onn adalah ornag yang berhaluan kanan. Sebenarnya , Dato’ Onn juga seperti pegawai-pegawai kerajaan Melayu yang lain tidak mempunyai pilihan selain daripada bekerjasama dengan golongan kiri. Ini kerana hanya golongan ini diterima oleh Jepun sebagai pemimpin Melayu yang penting seperti Ibrahim Yaakub , yang menjadi ketua pasukan tentera Melayu. Ini bermakna mereka menjadi penting lebih daripada golongan kanan yang menjadi pegawai-pegawai kerajaan. Oleh itu bagi pegawai-pegawai kerajaan yang berminat dalam politik seperti Dato’ Onn , beliau terpaksa mencampuri persatuan-persatuan pimpinan golongan kiri seperti KRIS . Tindakan ini boleh dikatakan sebagai satu ‘marriage of convenience’ dengan golongan tersebut. Ia adalah satu ‘political survival’ bagi Dato’ Onn.

Setelah menjelajah seluruh semenanjung Tanah Melayu, akhirnya tentera Jepun sampailah di Johor, Batu Pahat untuk memulakan serangan ke atas Singapura. Perintah mengosongkan bandar Johor Bahru dikeluarkan kerana tentera Jepun ingin membuat persediaan terakhir untuk menggempur kota Singapura,mereka semua terpaksa menuju ke Hutan Kempas sebagai tempat perlindungan sementara. Pihak Jepun tidak dapat menyediakan tempat perlindungan bagi penduduk tempatan kerana yang diutamakan hanyalah keperluan perang kerana itu yang menentukan kalah atau menang dalam peperangan.

Sementara itu , Dato’ Onn yang sememangnya terkenal dengan sikap simpati dan mengambil berat akan penduduk tempatan tidak sampai hati membiarkan beribu-ribu orang manusia yang senasib dengannya daif menderita tanpa mendapat sebarang bantuan atau pertolongan. Beliau yakin jika bantuan dapat dihulurkan tentulah penderitaan itu tidak sebegitu berat dirasai. Beliau memang dari awal-awal lagi sudah terdorong untuk memberikan apa sahaja bantuan atau pertolongan yang terdaya olehnya kepada orang pelarian yang bersama-samanya masuk ke Hutan Kempas.

Karisma Dato’ Onn sememangnya dikenali umum sehingga orang Jepun sendiri datang mencari Dato’ Onn yang dianggap ketua orang Melayu walaupun sebenarnya beliau hanyalah salah seorang daripada beribu pelarian yang berkampung di Hutan Kempas, pertemuan itu sebenarnya untuk membincangkan cara memberi bantuan kepada orang pelarian yang kesemuanya terdiri daripada orang Melayu. Sebenarnya , orang yang berada di Hutan Kempas itu sendiri telah menganggapnya sebagai orang harapan dan tempat mengadu hal. Sejak mereka masuk hutan , Dato’ Onn dan isteri,Datin Halimah telah memulakan usaha menolong mereka yang benar-benar dalam kesusahan kerana kekurangan pakaian atau makanan, tiada tempat berteduh dan sebagainya , sebab itu ramai menganggapnya sebagai ketua mereka.

Dato’ Onn juga telah berjaya membawa pulang surat besar atau juga dikenali sebagai ‘Tangkal Monyet’ daripada pihak berkuasa tentera Jepun untuk melindungi bukan sahaja beliau dan keluarganya bahkan ke semua pelarian supaya tidak diganggu oleh askar Jepun yang bersifat nakal. Apabila askar Jepun cuba membuat kacau Dato’ Onn akan menunjukkan surat itu dan pengganggu itu tidak jadi berbuat apa-apa melainkan berundur dari situ.

Bahkan bukan itu sahaja sikap murni yang ditunjukkan oleh Dato’ Onn , beliau juga rela menjadikan khemah tempat beliau dan isterinya berteduh sebagai pusat perubatan dan menggemblengkan tenaga untuk menolong mengubat dan merawat orang sakit seberapa yang berupaya, ini memerlukan bantuan doktor , dalam kes ini Dr. Awang merupakan insan berjasa yang telah banyak menolong merawat pesakit-pesakit sepanjang tempoh pelarian itu.

Dalam tempoh pelarian itu juga , Dato’ Onn jugalah yang menjadi penenang keadaan sekiranya pertengkaran berlaku , contohnya apabila berlaku perbalahan dalam merebut-rebut sumber air yang begitu terhad di kawasan itu , Dato’ Onn berjaya mententeramkan keadaan dan memujuk pihak bersengketa supaya bertolak ansur untuk kepentingan umum. Sepanjang penempatan di kawasan itu juga , Dato’ Onn sangat bersungguh-sungguh dalam membantu semua pelarian sehingga tidak menghiraukan makan minumnya selagi beliau bertugas atau menjalankan tanggungjawabnya terhadap orang ramai. Beliau berusaha menolong menjaga keselamatan dan kesihatan beribu-ribu orang manusia di Hutan Kempas itu. Beliau tidak mahu sekali meninggalkan orang ramai , prinsip yang beliau amalkan susah bersama senang bersama.

Jelaslah semasa penjajahan Jepun , Dato’ Onn sememangnya seorang pemimpin berjiwa rakyat yang telah mengorbankan masa , tenaga , kesihatan , malah keselamatan mereka semasa di Hutan Kempas kerana menolong orang yang susah dan memerlukan.

Keganasan bintang tiga

Akibat penjajahan Jepun yang berat sebelah dalam melayani kaum-kaum di Tanah Melayu , telah wujud satu perasaan curiga-mencurigai di antara orang Cina dan orang Melayu. Tentera Jepun telah memberi layanan istimewa kepada orang Melayu sebaliknya tentera Jepun telah melayani orang Cina secara kuku besi , bahkan menyifatkan mereka sebagai musuh kerana telah sedia ada peperangan antara Cina dengan Jepun di Tanah Besar China sejak beberapa tahun terdahulu. Dalam pada itu , anasir komunis tidak ketinggalan mengambil kesempatan untuk memburukkan lagi keadaan dan permusuhan antara kaum yang sedia ada.

Berikutan berita tentang perbuatan komunis menangkap orang Melayu yang tidak berdosa dan mendera mereka , ini telah membangkitkan kemarahan orang Melayu di seluruh Tanah Melayu. Dengan itu , Kiai Salleh dengan pimpinannya bangun untuk melancarkan gerakan balas. Dengan kebangkitan itu , Dato’ Onn telah mengambil tindakan berkesan supaya dapat menghentikan pertumpahan darah tersebut. Dato’ Onn percaya bahawa jika pertempuran berlarutan , nescaya banyak lagi nyawa yang tidak berdosa akan menjadi korban. Berikutan itu , Dato’ Onn telah mencari jalan pendamaian antara kedua-dua pihak supaya keamanan dapat dicapai.

Oleh yang demikian , tugas utama Dato’ Onn selaku pegawai Daerah Batu Pahat supaya persetujuan antara orang Melayu dan pihak komunis dapat dicapai. Dato’ Onn dengan beraninya telah mengambil keputusan untuk berjumpa sendiri dengan Ketua komunis atau Bintang tiga. Walaupun berita kematian pegawai Daerah sebelumnya iaitu Ismail bin Dato’ Abdullah masih bermain di fikirannya , beliau sedar akan hakikat itu. Tetapi kalau beliau sendiri tidak berani mengambil langkah tersebut , maka tidak ada orang lain yang sanggup. Rasa tanggungjawab sebagai ketua daerah , semangat kebangsaan Melayu dan keagamaannya tidak mengalih haluannya daripada mengambil langkah yang paling berbahaya dalam sejarah hidupnya untuk kepentingan dan keselamatan orang ramai. Beliau percaya jika tindakan sedemikian tidak diambil maka lebih banyak lagi nyawa yang akan terkorban , bagi Dato’ Onn keganasan yang sentiasa berkembar dengan kekejaman itu hidup lama dan subur atas keganasan dan kekejaman juga. Ini hanya akan dapat dicegah melalui kedamaian dan keamanan sahaja.

Akhirnya dengan berbasikal , Dato’ Onn pergi bertemu mata dengan ketua Bintang Tiga yang bermarkas di Bukit Pasir , Batu Pahat. Sejurus sampai di kawasan yang dituju , Dato’ Onn dibawa oleh kuncu-kuncu komunis untuk berjumpa dan dibawa masuk ke sebuah rumah dan disitulah beliau berhadapan dengan ketua gerombolan komunis. Rundingan dimulakan yang membincangkan bagaimana pertempuran Cina-Melayu dapat dihentikan supaya pertumpahan darah dapat dihentikan dan memberi keamanan di seluruh Batu Pahat. Rundingan ini berlaku pada bulan puasa , hari itu merupakan hari yang paling bersejarah dalam hidupnya kerana pada hari itulah beliau berjaya membuka jalan untuk menghentikan pertempuran kaum di daerah Batu Pahat. Dato’ Onn pulang ke rumahnya dengan keadaan gembira setelah berjayanya rundingan itu.

Belum pun sempat hendak berfikir dua kali , setelah beliau pulang dari markas besar Bintang Tiga di Bukit Pasir itu , maka datang orang memberitahu bahawa sebilangan besar orang Melayu yang menjadi pengikut Kiai Salleh telah berhimpun di Bagan bersiap sedia untuk melancarkan serangan ke atas penduduk Cina di Bandar Penggaram. Dato’ Onn bergegas ke tempat kejadian dan menggesa supaya rancangan mereka untuk menyerang ibu kota daerah itu dihentikan. Namun , Dato’ Onn kesal kerana pertempuran telah berlaku semula dan bimbang kejadian seperti itu akan memusnahkan harapan untuk memulihkan keamanan.

Sebenarnya Dato’ Onn dan Kiai Salleh silih berganti berada di Johor Bahru dan Batu Pahat atas perintah Sultan Ibrahim.Sementara beliau berada di Batu Pahat , Kiai Salleh sepatutnya berada di Johor Bahru di Istana Raja , tetapi dalam diam beliau telah pulang ke Batu Pahat untuk mengumpul orang-orangnya di Bagan untuk menyerang orang Cina. Dato’ Onn berasa amat kecewa dengan tindakan itu. Oleh itu , Dato’ Onn dengan ditemani oleh Dato Abdul Rahman , berkejar ke Bagan sebelum terlambat untuk menemui Kiai Salleh dan orangnya bagi menghalang niatnya itu. Setibanya di sana , Dato’ Onn terus menyeru kepada Kiai Salleh dan pengikutnya supaya berhenti daripada mengambil tindak balas terhadap orang Cina secara sendirian. Beliau tidak mahu nama orang Melayu tercemar,rosak, dan hina dipandang orang. Setelah melontarkan kata-kata bersungguh kepada Kiai Salleh di hadapan pengikutnya, Kiai Salleh tidak berkata apa-apa. Tetapi pengikut disekelilingnya telah terpengaruh kuat dengan penerangan dan rayuan yang telah dibuat oleh Dato’ Onn.

Dengan secara spontan , mereka bangkit beramai-ramai melahirkan kesediaan untuk menerima nasihat Dato’ Onn dan mereka berikrar akan patuh kepadanya untuk menghentikan pertempuran Cina-Melayu dan memulihkan keamanan di seluruh daerah Batu Pahat.

Sekali lagi Dato’ Onn berjaya dengan cemerlangnya. Tidak berapa ketika dahulu , beliau berjaya mendapatkan ketua Bintang Tiga bersetuju menghentikan perbuatan jenayah komunis dan sekarang orang Melayu pula bersetuju tidak akan meneruskan tindakan balas terhadap orang Cina. Kejayaannya mengamankan orang Melayu dan orang Cina di Batu Pahat dan mengembalikan ketenteraman di daerah itu meletakkan Dato’ Onn pada satu kedudukan istimewa yang disanjung tinggi oleh seluruh kaum Cina dan Melayu di seluruh negeri Johor, malah di seluruh Tanah Melayu.



RUJUKAN

1.Dato’ Onn Jaafar , Ramlah Adam , Gateway Publishing House Sdn. Bhd. 1987 (m/s 13-16)

2.Biografi Tokoh Pilihan Malaysia, Abdullah Zakaria Ghazali dan Adnan haji Nawang , Penerbit Universit Malaya 1997 (m/s122-123)

3.BIOGRAFI DATO’ ONN Hidup Melayu ,Anwar Abdullah , Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia Bangi 2005 (m/s 98-133)

No comments: