Sunday, October 5, 2008

ZAMAN PENJAJAHAN BRITISH


Dato’ Onn Jaafar merupakan pelopor dalam penentangan terhadap kerajaan British di Tanah Melayu. Zaman penjajahan British merupakan titik permulaan penyatuan bangsa di Tanah Melayu. Hal ini akibat tindakan British yang menubuhkan Malayan Union.

Pada 12.9.1945, Pentadbiran Tentera British telah memulakan Pentadbiran Tentera bagi menggantikan pemerintahan pendudukkan Jepun di Tanah Melayu. Mengikut sumber Inggeris, objektif utama Pentadbiran Tentera British di antaranya ialah untuk :
1. Mengembalikan keamanan dan mewujudkan undang-undang bagi memupuk semangat dan kecekalan rakyat jelata.
2. Membentuk Mahkamah Jenayah untuk membicarakan kes-kes jenayah.
3. Menyediakan bantuan bekalan hidup harian kepada orang awam.
4. Memulihkan semula Tanah Melayu dengan secepat mungkin supaya sebuah kerajaan awam dapat diwujudkan.
Pentadbiran Tentera British adalah di bawah kuasa Pegawai Pemerintahan Angkatan Tentera di Tanah Melayu dengan arahan langsung dari Pemerintahan Tertinggi Bersekutu, South East Asia Command. Di bawah Pentadbiran Tentera British ini juga Perkhidmatan Hal-ehwal Awam atau Civil Affairs Service diwujudkan untuk menguruskan kebajikan orang awam. Perkhidmatan hal-ehwal Awam ini diketuai oleh Major General H.R. Hone dan dibantu oleh Brigadier H.C. William, Brigadier Newboult dan Brigadier Mc. Kerron.

Pergerakan Melayu Semenanjung Johor

Dato’ Onn Jaafar telah menubuhkan Persatuan Melayu Semenanjung Johor pada 3 Januari 1946. Beliau telah berjaya mengumpulkan orang-orang Melayu yang menunjukkan rasa ketidakpuasan hati apabila kertas putih Malayan Union, yang diluluskan oleh House of Lords, Westminster untuk bersatu teguh sebagai entiti politik Melayu yang kuat.

Penubuhan Pergerakan ini adalah hasil dari persetujuan yang telah dicapai oleh 8 buah persatuan di antara beberapa buah Persatuan Melayu dan Perwakilan Daerah yang terdapat di seluruh negeri Johor. Persatuan-persatuan dan Perwakilan-Perwakilan itu ialah Persatuan Melayu Kluang, Kesatuan Melayu Johor, Persatuan Melayu Johor Baharu, Lembaga, Wakil Batu Pahat, Persatuan Melayu Segamat, wakil Mersing dan wakil Pontian.

Pergerakan Melayu Semenajung Johor yang dipimpin oleh Dato' Onn Bin Jaafar ini adalah bertujuan untuk menentang Malayan Union; menyatukan dan mengawal keselamatan orang-orang Melayu akibat dari pergaduhan kaum yang pada mulanya berlaku di Batu Pahat dan kemudian merebak ke Kuala Pilah, Negeri Sembilan, ke Lambar Kanan di Teluk Anson (kini dikenali Teluk Intan) dan Daerah Kuala Kangsar, Perak, dan ke Daerah Raub Pahang; menyatukan orang-orang Melayu dan berjuang serta mempertahankan hak-hak dan kedudukan istimewa orang-orang Melayu. Pada peringkat akhirnya, pergerakan ini bertujuan untuk menjadi badan dan penyuara dalam memperjuangkan hak-hak serta kehidupan orang-orang Melayu keseluruhannya.
Pergerakan Melayu Semenanjung Johor ini telah menjadi penganjur kepada perhimpunan Kongres Melayu Se Tanah Melayu (SeMalaya) yang diadakan pada 1, 2, 3 dan 4hb Mac 1946. Kongres yang dihadiri oleh para wakil 41 buah pertubuhan Melayu dari seluruh Tanah Melayu, termasuk Singapura telah memutuskan untuk menubuhkan sebuah badan yang mewakili seluruh orang-orang Melayu dalam gerakan menentang Malayan Union. Badan itu lahir dengan nama “Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu” atau “United Malays National Organization” (UMNO) iaitu semasa Kongres bersidang buat kali yang ke 3 pada l lhb, dan 12hb Mei 1946, di Istana Besar, Johor Baharu. Dengan tertubuhnya UMNO di bawah pimpinan Dato' Onn Bin Jaafar sebagai Presidennya yang pertama maka Kongres Melayu Se Tanah Melayu dimansuhkan mengikut ketetapan Majlis Mesyuarat yang bersidang pada ll hb. Mei 1946, dan segala pekerjaan diterima dan dijalankan oleh “Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu” .
Dengan tertubuhnya UMNO, maka Pergerakan Melayu Semenanjung Johor telah mansuh dengan sendirinya.Segala perjuangan Pergerakan Melayu Semenanjung Johor disalurkan dan menjadi perjuangan UMNO.

Kongres Melayu

Kongres Melayu Pertama

Satu perjumpaan pada 11 Mac 1946 iaitu Kongres Melayu yang pertama menggabungkan 41 pertubuhan Melayu termasuklah PKKM dan bersetuju membentuk Kongres Melayu Seluruh Tanah Melayu. Ia bermatlamat untuk menyatupadukan orang Melayu dalam satu badan penyuaraan yang kuat supaya Malayan Union dimansuhkan. Ketika ini Kongres ini belum mempunyai sebarang rancangan kemasyarakatan dan ekonomi yang tertentu sebaliknya hanya mahu memulih kembali kedaulatan raja-raja Melayu dan hak-hak orang Melayusebagaibumiputera. Ia juga telah mengisytiharkan bahawa perjanjian Mac Michael itu tidak sah kerana tiada persetujuan dan perbincangan pembesar Melayu dan rakyat jelata. Melalui Kongres ini Pertubuhaan Kebangsaan Bersatu (UMNO) ditubuhkan pada 11 Mei 1946 bagi memelihara kepentingan orang Melayu, di mana Dato Onn Jaafar menjadi Presiden yang pertama. Keengganan penerimaan Malayan Union ini diburukkan lagi apabila kaum Cina dan India turut mengkritik sesetengah bahagian gagasan itu. Bantahan-bantahan orang Melayu menjadi begitu memuncak menjelang Mei 1946, akhirnya British terpaksa akur bagi mengenetepikan berlakunya aktiviti komunis dan pelampau Melayu yang mahukaan penyatuan politik dengan Indonesia. Mereka sedar bahawa sejauhmana sekali pun sokongan orang Cina dan India terhadap gagasan ini masih tidak dapat menandingi kehebatan bantahan orang Melayu. Akhirnya satu perundingan perubahan perlembagaan dilakukan yang kemudiannya melahirkan Persekutun Tanah Melayu pada tahun 1948. Ternyata Malayan Union adalah satu peristiwa yang mempunyai rahmat yang tersembunyi. Di mana buat pertama kali bangsa Melayu bangun menentang British melalui penyatuan.

Kongres Melayu Kedua

Kongres Melayu Se-Malaya Kedua diadakan di Kuala Lumpur bagi membincangkan penubuhan pertubuhan Melayu iaitu UMNO.

Kongres Melayu Ketiga

Kongres Melayu Ketiga kemudiannya diadakan di Istana Besar Johor Bahru pada bulan Mei, 1946. Kongres inilah yang melahirkan UMNO dengan Dato’ Onn sebagai Yang Dipertuanya yang pertama. Dalam tahun ini juga iaitu pada 1 hb. Oktober, 1946 Sultan Ibrahim melantik Dato’ Onn Bin Jaafar sebagai Menteri Besar Johor. Saudara- saudaranya, Datuk Abdullah dan Datuk Mustafa pernah dilantik ke jawatan tersebut.

Kongres Kebangsaan Melayu Kedua

Pada tahun 1957, Kongres Kebangsaan Melayu Kedua telah diadakan di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Bahru. Kongres yang berlangsung sehingga 7hb. Mei, telah di rasmikan oleh Pengerusi Panitia Kongres Melayu Malaya Kedua Tuan Haji Yahya bin Sheikh Ahmad
Dalam kongres yang kedua ini, Dato’ Onn bin Jaafar telah mewakili Parti Negara. Selain itu, beberapa buah parti politik yang lain telah menghantar wakil-wakil mereka. Antaranya Parti Rakyat Malaya yang diketuai oleh Ahmad Boestamam, Persatuan Islam Se Malaya diketuai oleh Doktor Burhanuddin.
Tujuan kongres ini ialah untuk menyelesaikan masalah-masalah baru yang ditimbulkan oleh Suruhanjaya Reid. Suruhanjaya ini telah mengabaikan beberapa hak keistimewaan orang Melayu seperti mana yang telah termaktub dalam perlembagaan. Antara prinsip-prinsip yang ditentang oleh orang Melayu ialah berkenaan dengan kerakyatan, hak-hak asasi rakyat, hak istimewa orang Melayu, bahasa dan ugama rasmi negara.
Selain daripada itu, kongres ini juga bertujuan menyatu padukan semua fikiran dan pendapat-pendapat orang Melayu dengan cara bebas dan bertanggungjawab. Dengan keadaan demikian maka Suruhanjaya Reid akan dapat digagalkan sebelum dibahaskan di Dewan Maljis Perundangan Persekutuan.
Kongres tersebut telah berlangsung dengan hebatnya di mana beberapa orang wakil telah memberitahu bahawa bangsa Melayu akan lenyap di mata dunia dan tidak akan hidup lagi sekiranya penyata Reid yang mengesyorkan perlembagaan baru Malaya Merdeka diterima.
Sesungguhnya Kongres Kebangsaan Melayu Kedua yang telah diadakan di Kelab Sultan Sulaiman pada hari ini dalam tahun 1957, telah membuktikan hakikat sebenar bahawa orang Melayu akan menentang pemerintahan British sekiranya ia cuba mencabul hak keistimewaan orang Melayu. Ini sudahpun terbukti apabila berlakunya penentangan Malayan Union pada tahun 1946.

UMNO

UMNO yang ditubuhkan secara prinsipnya pada 1 Mac 1946 setelah pelbagai persatuan persatuan Melayu seluruh Tanah Melayu diwakili dan datang bersidang dan meluahkan pendapat ke atas isu isu berkenaan, berjaya ditubuhkan secara rasmi, setelah DYMM Sultan Sir Ibrahim Almahrum Sultan Seri Maharaja Abu Bakar, Sultan Johor pada 11 Mei 1946 di Istana Besar, Johor Bahru. Johor. Objektif asalnya ialah untuk menolak Malayan Union dengan mengesa Raja Raja Melayu yang pada masa itu sudahpun menanda-tangani Perjanjian MacMichael, di mana British berjaya yang mendapatkan ‘persetujuan’ seorang demi seorang Raja Raja Melayu keatas cadangan Malayan Union bermula dari 20 Oktober 1945 sehingga 21 Disember 1946, walaupun ramai baginda Raja Raja sebenar tidak setuju dengan cadangan Malayan Union ini. Namun pemerintah BMA mengunakan ‘ugutan’ seperti mendakwa Raja Raja Melayu yang enggan bersetuju dan menanda-tangani Perjanjian MacMichael ini akan didakwa berkerjasama dengan pihak Tentera Jepun dan diturunkan dari takhta.
Naungan baginda Tuanku Sultan Johor ini amat bermakna dan memberikan kelebihan strategik bagi Dato’ Onn Bin Jaafar dan UMNO kerana simbol restu Raja Melayu itu membolehkan lebih banyak sokongan padu dapat digembeling dari orang orang Melayu, baginda Raja Raja Melayu lebih mudah menerima UMNO sebagai mewakili majoriti orang orang Melayu dan pemerintahan British memberikan ‘muka’ dan ‘ruang’, kerana Tuanku Sultan Johor merupakan Raja Melayu paling rapat dengan British.
Objektif utama UMNO semasa penubuhanya adalah agar Malayan Union yang diisytiharkan pada 1 April 1946 itu ditolak dan digagalkan. Ini kerana Malayan Union mengambil kuasa dan juriduksi sepenuhnya Raja Raja Melayu (kecuali hal ehwal agama Islam dan adat resam Melayu), proses pemberian kerakyatan yang begitu longgar dan orang-orang Melayu hilang taraf sebagai pribumi selamanya.
Kebangkitan perasaan tidak puas hati orang orang Melayu diterajui Dato’ Onn yang berjaya ditunjukan bermula dengan perhimpunan di Batu Pahat pada 10 Februari 1946 dan kemudian setelah UMNO ditubuhkan ini berjaya mengesa Raja Raja Melayu untuk memulaukan majlis perlantikan Sir Edward Gent sebagai Gabenor Malayan Union pertama dan ini adalah tindakan signifikan kerana pihak Whitehall mula memberikan perhatian serius kepada isu ini.
Signifikan moral penubuhan UMNO dan kejayaan menafikan Malayan Union dari diteruskan ini adalah hasil dari kerjasama dan kesepaduan di kalangan orang-orang Melayu yang mengambil peranan penting dalam proses politik, yang selama ini merupakan peranan, hak dan kuasa mutlak dan eksklusif golongan keluarga DiRaja dan bangsawan sepenuhnya. Keadaan ini juga merupakan permulaan proses ‘demokrasi’ di Tanah Melayu, di mana rakyat kemudianya mempunyai hak dan kuasa menentukan masa depan mereka.

Akibat kegagalan Malayan Union, wakil-wakil Raja-Raja Melayu, UMNO dan British telah berunding dan Perjanjian Persekutuan dimeterai pada 21 Januari 1948 diKing’s House (sekarang ini dikenali Carcosa Seri Negara) dimana Persekutuan Tanah Melayu yang berpelembagaan berjaya dicapai dan wujudkan pada 1 Feb 1948. Antara artikel artikel penting dari Perjanjian Persekutuan itu ialah penubuhan Majlis Raja Raja Melayu, yang berhak membincangkan soal-soal dasar Persekutuan Tanah Melayu seperti mengenai kemasukan dan kerakyatan pedagang, rang undang berkenaan negeri negeri Melayu dan perkara perkara yang termaktub dalam Perjanjian Persekutuan itu.
Dato Onn mencadangkan bahawa keahlian parti dibuka kepada semua penduduk Tanah Melayu, tanpa mengira kaum, dan nama UMNO ditukarkan menjadi "Pertubuhan Kebangsaan Penduduk Tanah Melayu Bersatu". Disebabkan cadangan itu ditentang, Dato Onn meletakkan jawatan sebagai presiden UMNO apabila persidangan Majlis Mesyuarat Agung Keenam diadakan pada 25 - 26 Ogos 1951. Dato Onn kemudian menubuhkan Parti Kemerdekaan Malaya (IMP) pada 26 Ogos, 1951

No comments: